:: Sepatah Dua ::


ShoutMix chat widget

SESUATU YANG DIIMPIKAN




Jordan Islamic Hospital: Hospital Tubuh Badan dan Sekolah Kehidupan Saya

Semasa di Jordan, saya pernah dirawat sebanyak dua kali di Jordan
Islamic Hospital. Nama itu adalah nama yang berat untuk dipikul oleh
sebuah hospital kerana ia membawa kepada masyarakat menilai setiap aspek
hospital tersebut sama ada menepati Islam atau tidak. Memang tidak
dinafikan, hospital tersebut cuba menjaga pelbagai sudut operasinya agar
menepati Islam. Saya menghargainya.

Misalnya, wad lelaki dan perempuan diasingkan, di mana wad perempuan
dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan perempuan. Daripada jururawat,
hinggalah kepada kerani dan pekerja membersih lantai. Manakala di wad
lelaki pula, keadaannya sama iaitu semua jururawat dan kakitangan yang
lain, lelaki. Mungkin kita sinis dengan situasi begini, tetapi
sekurang-kurangnya Jordan Islamic Hospital telah mengorak langkah.

Namun, apa yang saya kenang sampai bila-bila adalah budi bahasa
kakitangan hospital tersebut. Selepas menerima rawatan, saya diserahkan
bil sebanyak JD1200 iaitu kira-kira RM7 ribu. Tentulah jumlah ini
mustahil untuk saya. Saya bertanya, apakah ada peluang untuk saya
memohon bantuan kewangan atau mungkin dikurangkan jumlah bil tersebut.
Saya diberitahu oleh kakitangan kewangan hospital, agar berjumpa terus
dengan pegawai yang bertanggungjawab di dalam hal ini.

"Saya mohon agar dikurangkan bayaran bil ini kerana jumlahnya terlalu
besar. Saya memilih untuk menjalani pembedahan di hospital ini kerana
saya yakin dengan 'kualiti perkhidmatan' yang diberikan, di samping
suasana Islamnya', saya cuba memohon pertimbangan.

"Ya akhuy!, bagaimanakah kesihatan kamu sekarang?", itu ayat yang
keluar dari mulut pegawai tersebut.

"Alhamdulillah beransur baik. Syukur kepada Allah.", saya menjawab
sambil terpinga-pinga menanti jawapan tentang bil itu tadi.

"Selain rawatan, apakah yang kamu dapat selama kamu berada di
hospital ini?", tanyanya lagi.

"Saya dapat dua orang kawan baru. Seorang pesakit berbangsa Sudan
yang menghadiahkan saya lawatan setiap hari. Dia sentiasa membantu saya
bangun untuk mengerjakan Solat. Seorang lagi adalah pesakit dari selatan
Jordan . Dia menghadiahkan saya senaskhah al-Quran dan seutas tasbih.
Pelajaran berharga yang saya dapat adalah PERSAUDARAAN ISLAM", saya cuba
memberikan penjelasan.

"Setujukah kamu kalau saya katakan Islam itu indah?", beliau
seakan-akan cuba menduga saya.

"Ya, memang indah", saya menjawab.

"Jika persaudaraan menjadi Islam, ia menjadi persaudaraan yang indah.
Jika kehidupan kita menjadi Islam, ia menjadi kehidupan yang indah. Jika
hospital ini menjadi Islam, ia pasti menjadi hospital yang indah. Betul
tak?", beliau tersenyum kepada saya.

"Ya, saya hanya sakit fizikal, tetapi fikiran dan jiwa saya tenang.",
saya membalas.

" Ya akhi, tulislah di kertas ini apa-apa cadangan kamu untuk kami
tingkatkan kualiti perkhidmatan kami di sini. Kamu sudah membayar 200
Dinar semasa pendaftaran tempoh hari, betul tak?", ujarnya.

"Ya. JD200", saya menjawab.

"Nah, ambillah baki 60 Dinar. Jagalah kesihatan kamu sebab kamu
pelajar Syariah. Kamu perlukan kesihatan yang baik untuk melaksanakan
tugas kamu di dalam masyarakat", pegawai itu menghulurkan tiga keping
wang kertas 20 Dinar bersama sekuntum senyuman.

Subhanallah, saya jadi keliru. Saya sepatutnya membayar JD1200 tetapi
akhirnya, menjadi hanya JD140 sahaja.

Saya cuba mendapatkan penjelasan berkenaan dengan hal ini. Kata
pegawai terbabit, mereka meletakkan cas yang standard kepada pesakit
kerana hospital itu adalah hospital pakar swasta. Namun, ia adalah
keperluan, bukan tujuan. Sebarang bantuan kewangan, hanya dihulurkan
jika pesakit atau warisnya mahu bertemu dengan pegawai yang telah
ditetapkan. Dan apabila bertemu, pegawai itu akan melaksanakan misinya
menyampaikan mesej-mesej Islam kepada pesakit atau waris tersebut.

Itulah kenangan saya semasa menerima rawatan dan pembedahan di Jordan
Islamic Hospital. Apa yang menjadi ingatan saya hingga ke hari ini,
bukanlah pada kecantikan landskapnya, atau wad dan bilik pembedahan yang
canggih. Tetapi yang menjadi ingatan untuk saya terus mendoakan kemajuan
hospital tersebut adalah pada budi bahasa pegawainya, serta
'pelajaran-pelajaran berharga' selama saya di hospital tersebut.

Mungkin ada yang ketawa sinis membaca cerita saya ini. Alahai macam
hospital di kayangan pula bunyinya!

Izinkan saya untuk membalas ketawa itu dengan senyuman. Seorang yang
mahu menikmati Syurga Akhirat, mestilah terlebih dahulu menikmati Syurga
dunia. Syurga dunia itu adalah pada kesejahteraan iman dan ketenangan
diri yang syukur, sabar dan redha. Jika rumah tangga kita bagai neraka,
jika tempat kerja kita bagai neraka, hubaya hubaya!
Maafkan saya, dari Allah jua dipohon keampunan.

Wassalamualaikum wbt.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Cheras 56000, 22 April 2006

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

.:: Followers ::.